Wednesday 18 July 2012

Konsep Hijrah

Hijrah ialah perkataan Arab yang bermakna berpindah. Pada umumnya, perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam konteks tamadun Islam, hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Madinah dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam. Penghijrahan juga mempunyai pengertian yang lebih luas dan mendalam, iaitu perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan dan kejahatan. Hijrah juga boleh dilambangkan dengan semangat ingin berubah dan perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara berfikir dan tingkah laku. 

     Orientalis Barat mentafsirkan hijrah secara negatif, iaitu sebagai suatu pelarian. Pendapat orientalis Barat ini boleh disangkal kerana konsep hijrah dalam Islam berbeza daripada konsep hijrah Barat dengan menggunakan empat hujah. Yang   pertama, penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah adalah kerana jemputan orang Arab Madinah seperti yang tercatat dalam Perjanjian Aqabah Kedua. Yang kedua, ketibaan orang Islam Makkah ke Madinah juga telah disambut dengan rela dan meriahnya oleh orang Madinah. Yang ketiga, orang Islam Makkah diberikan tempat tinggal yang sewajarnya selain dijamin tentang keselamatan mereka oleh orang Arab Madinah. Akhirnya, Nabi Muhammad s.a.w. pula dilantik sebagai pemimpin Madinah dan baginda diterima oleh kesemua golongan masyarakat Madinah termasuk orang bukan Islam.

     Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah bermula setelah baginda berjaya melepaskan diri daripada kepungan pemuda Quraisy terhadap rumah baginda. Sebelum itu, Ali bin Abu Talib telah menawarkan diri untuk tidur di tempat tidur baginda dengan menggunakan selimut baginda. Setelah keluar dari rumah, baginda telah menemui Abu Bakar al-Siddiq dan menyatakan tentang perintah Allah supaya baginda berhijrah. Namun, baginda dan Abu Bakar al-Siddiq telah bersembunyi di Gua Thur sebelum meneruskan hijrah ke Madinah. Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah dipandu oleh Abdullah bin Arqat.  

Semasa bersembunyi di Gua Thur, Nabi Muhammad dibantu oleh:-
# Abdullah bin Abu Bakar- mengintip kegiatan orang Quraisy yang
                                                 ingin menjejak kehilangan baginda
# Asma' binti Abu Bakar- menghantar makanan
# Amir bin Fuhairah- menggembela kambing berhampiran Gua Thur 
                                     agar susu kambingnya dapat diberikan kepada 
                                     baginda

No comments:

Post a Comment